
Beliau merujuk kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan pada Ahad yang berkata, tiada salahnya BN menerima parti lain ke dalam gabungan itu kerana ia perlu mengumpul semula kekuatannya, termasuk daripada parti lain yang mempunyai kelebihan tersendiri, selepas kalah pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Bagaimanapun Shahril berkata, UMNO tidak harus bergantung pada parti lain yang mempunyai hak dan kepentingan sendiri.
“Ini supaya apa saja keputusan akhir yang UMNO ambil berhubung kerjasama politik akan berlandaskan kedudukan kukuh yang dihormati kawan dan lawan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, strategi memperkukuhkan UMNO mungkin tidak diberi perhatian sewajarnya jika ia terlalu sibuk menimbangkan agenda politik jangka pendek.
“Jika kita terlalu gemar berpuak-puak, prejudis terhadap individu tertentu meskipun dalam parti sendiri dan terlalu cepat mahu salahkan parti lain, saya khuatir agenda strategik untuk memperkukuh rumah sendiri tidak diberi perhatian sewajarnya.”
Beliau juga bimbang tindakan itu akan menguntungkan pihak lain yang akhirnya mengatasi UMNO.
“Pada waktu itu kita tak boleh salahkan orang lain. Ia salah sendiri.”
Mohamad yang juga timbalan presiden UMNO dilaporkan berkata, sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baru dalam BN perlu mendapat konsensus empat parti komponennya, iaitu UMNO, MIC, MCA dan PBRS.
Beliau berkata demikian susulan permohonan parti Makkal Sakti untuk bertanding atas tiket BN pada PRU15.
Katanya, perkara itu wajar dipertimbangkan pucuk pimpinan BN memandangkan Makkal Sakti masih setia menyokong gabungan itu, walaupun hanya berstatus parti rakan.