Dipanggil beri keterangan ketika PKP, Guan Eng persoal tindakan polis

Dipanggil beri keterangan ketika PKP, Guan Eng persoal tindakan polis

Setiausaha agung DAP itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mengenai dua kenyataannya yang disiasat polis.

Lim Guan Eng memberi keterangan kepada pegawai polis dari Bukit Aman di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hadir di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini untuk memberi keterangan berhubung dua kenyataan dibuatnya pada 2019.

Lim berkata, beliau diminta hadir memberi keterangan mengenai dua kenyataan itu kepada pegawai polis dari Bukit Aman walaupun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setiausaha agung DAP itu mempersoalkan mengapa beliau dipanggil memberi keterangan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Beliau yang diiringi peguam RSN Rayer dan Ramkarpal Singh tiba di IPD itu kira-kira 2.30 petang dan beredar hampir dua jam kemudian.

Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, sepatutnya memberi keterangan berhubung siasatan itu pada 24 Dis lalu namun dibatalkan selepas dipertikai kerana dipanggil sehari sebelum menjelang sambutan Krismas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan itu tidak mendedahkan butiran mengenai dua kenyataan disiasat oleh polis.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan Lim hadir memberi kenyataan namun beliau enggan mengulas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.