5 nelayan hilang dalam 2 tragedi bot di Sabah

5 nelayan hilang dalam 2 tragedi bot di Sabah

Laut bergelora dan cuaca buruk mungkin faktor di sebalik dua tragedi ini berlaku dalam tiga hari.

Pihak berkuasa maritim dalam operasi mencari dan menyelamat lima nelayan yang hilang itu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Lima nelayan daripada dua bot hilang, selepas bot mereka terbalik dalam cuaca buruk sejak tiga hari lalu di Sabah.

Dalam kejadian semalam, dua lelaki dalam sebuah bot nelayan diselamatkan, manakala dua kru mereka masih hilang, selepas bot terbalik di perairan Sandakan.

Adrian @ Agus Bahtiar, 45, warga Indonesia dan Oyong @ Herman, 35, dari Filipina diselamatkan nelayan tempatan kira-kira dua jam selepas bot mereka terbalik di Kuala Meruap pada 6.30 pagi.

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan, Zainudin Mohd Zuki berkata, mereka masih mencari Andi Manso, 40, tekong bot dan Sindora, 42, kedua-duanya warga Indonesia.

“Bot mereka dipercayai terbalik selepas dipukul ombak besar ketika menangkap ikan pada 4 pagi 15 Jan lalu.”

Katanya, enam pihak berkuasa, termasuk APMM, polis dan tentera laut mencari sehingga 175 batu nautika persegi pada hari kedua operasi hari ini.

Rabu lalu, satu lagi operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas tiga lelaki dilaporkan hilang apabila bot mereka terbalik di perairan Kinabatangan.

Zainuddin berkata, satu mayat ditemui terapung di Pulau Tambisan, di luar Lahad Datu awal pagi ini.

Katanya, APMM menyerahkan mayat itu kepada polis untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh waris.

“Laut bergelora dan cuaca buruk mungkin faktor di sebalik dua tragedi ini berlaku dalam tiga hari,” katanya sambil menambah cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

Oleh itu, beliau menasihatkan nelayan dan penduduk di kawasan pantai mengikuti perkembangan terkini cuaca sebelum keluar ke laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.