Pekerja 4 kilang Top Glove positif Covid-19

Pekerja 4 kilang Top Glove positif Covid-19

Top Glove berkata, pekerja asingnya sudah diletakkan di pusat kuarantin ditetapkan dan pekerja tempatan akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Kilang yang terjejas itu terletak di Port Dickson di Negeri Sembilan, Kulim di Kedah, Sungai Puloh dan Shah Alam di Selangor.
PETALING JAYA:
Top Glove mengesahkan pekerja di empat kilangnya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Syarikat itu menerusi kenyataan berkata, kilang yang terjejas itu terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan, Kulim di Kedah, Sungai Puloh dan Shah Alam di Selangor.

“Semua pekerja di fasiliti kami di Port Dickson sudah menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan pada 14 Jan dan pekerja yang dijangkiti sedang dikuarantin.”

Top Glove berkata, pekerja asingnya sudah diletakkan di pusat kuarantin ditetapkan dan pekerja tempatan akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Katanya, kakitangan di kilang Sungai Puloh akan menjalani ujian saringan besar-besaran hari ini, manakala pengesanan kontak dan saringan kontak rapat sedang dilakukan di kilang di Shah Alam serta Kulim.

Semua kawasan terjejas, termasuk kuarters pekerja dan kenderaan syarikat sudah dibersihkan, dengan semua kos berkaitan untuk pekerja tempatan dan asing ditanggung syarikat.

“Top Glove menegaskan kesihatan dan keselamatan pekerja ialah keutamaan.

“Ketika syarikat terus mengeluarkan sarung tangan perubatan berkualiti tinggi untuk melindungi pengamal perubatan dan petugas barisan hadapan di seluruh dunia, kami berdedikasi untuk mematuhi langkah ketat bagi melindungi pekerja kami dan juga masyarakat.”

Kluster Teratai, yang merekodkan 6,934 kes Covid-19 setakat semalam, dikaitkan dengan kilang Top Glove di Meru, Klang, Selangor.

Sebelum ini, syarikat itu menutup 28 kilangnya di Klang akibat lonjakan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja di kawasan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.