Lelaki rugi RM13,150 ditipu penjual kereta tak wujud

Lelaki rugi RM13,150 ditipu penjual kereta tak wujud

Mangsa yang berusia 21 tahun mendakwa berminat membeli Toyota C-HR selepas melihat ia diiklankan pada harga RM18,000 di Facebook pada 20 Jan lepas.

Mangsa mendakwa selesai membayar RM13,150 menerusi tiga transaksi dan akan membayar bakinya selepas menerima kenderaan itu, namun suspek dikatakan terus mendesak dia membuat bayaran penuh RM18,000.
KUANTAN:
Hasrat seorang anggota tentera membeli kereta Toyota C-HR pada harga murah menerusi media sosial membawa padah apabila mendakwa kerugian RM13,150 selepas ditipu penjual tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 21 tahun mendakwa berminat membeli kereta itu selepas melihat ia diiklankan pada harga RM18,000 di Facebook pada 20 Jan lepas.

“Mangsa mendakwa telah menghantar pesanan WhatsApp yang terdapat di iklan tersebut dan berurusan dengan seorang suspek lelaki mengarahkan mangsa membuat bayaran dalam talian sebelum boleh menerima kereta itu.

“Mangsa mendakwa telah selesai membayar RM13,150 menerusi tiga transaksi dan berhasrat menyelesaikan bayaran apabila menerima kenderaan itu, namun suspek dikatakan terus mendesak dia membuat bayaran penuh,” katanya.

Wazir berkata, tindakan suspek yang berkeras menuntut baki bayaran RM5,000 menyebabkan mangsa curiga dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera semalam.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Wazir menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan penjual dan barangan dibeli sebelum membuat transaksi wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.