“Apa logiknya sekolah ditutup 14 hari sebelum peperiksaan?” Najib persoal tindakan KPM

“Apa logiknya sekolah ditutup 14 hari sebelum peperiksaan?” Najib persoal tindakan KPM

Najib meminta kerajaan mencari jalan keluar untuk pelajar dan ibu bapa yang bimbang dengan persiapan peperiksaan SPM dan SPMV mereka.

Najib Razak persoal tindakan KPM hentikan sesi persekolahan bagi SPM, SPVM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghentikan sesi persekolahan bagi pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM dan SPMV bermula 9 Feb.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib mengambil kira kegusaran pelajar dan ibu bapa yang bimbang pelajar mungkin tidak bersedia untuk menduduki peperiksaan besar ini pada 22 Feb.

“Sekolah ditutup semula pada 9 Feb 2021 dan pelajar disuruh bersedia kendiri sebelum mengambil peperiksaan kurang dua minggu kemudian iaitu pada 22 Feb 2021. Ini bermakna mereka cuma ada peluang menghadiri 14 hari sekolah dalam tempoh lebih 3 bulan yang lalu sebelum peperiksaan bermula.

“Peperiksaan percubaan pula hampir 4 bulan lalu. Jadi, adakah 15 hari sekolah dalam tempoh 3 bulan lalu persediaan yang cukup bagi mereka menghadapi SPM dan SPMV?

“Apakah logiknya KPM suruh budak-budak untuk hadir sekolah selama 14 hari lalu ditutup selama 14 hari sebelum peperiksaan?,” soal Najib.

Sehubungan itu, Najib mendesak kerajaan mencari jalan keluar untuk pelajar dan ibu bapa yang bimbang dengan persiapan peperiksaan SPM dan SPMV mereka.

Beliau berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia harus memikirkan jalan penyelesaian seiring dengan norma baharu memandangkan negara kini sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Sebagai contoh, beliau mencadangkan SPM ditangguhkan selama dua minggu lagi agar pelajar yang menghadapi peperiksaan boleh mengikuti kelas tambahan secara fizikal selepas cuti umum Tahun Baru Cina sebagai langkah persediaan.

Tambahnya, jika peperiksaan tidak dapat ditangguhkan lagi, pelajar perlu diberikan pengajaran dan bimbingan secara dalam talian sehingga peperiksaan bermula.

Sebelum ini, sekolah dibuka semula pada 20 Januari lalu untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.