
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, kumpulan warga Myanmar itu dihantar pulang melalui pangkalan tentera laut Lumut di Perak menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar.
“JIM ingin menegaskan semua tahanan yang dihantar pulang merupakan PATI warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.
“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Semua PATI warganegara Myanmar tersebut ditahan dalam depot imigresen di seluruh negara sejak 2020,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
Terdahulu, FMT melaporkan warga Myanmar itu diberikan penangguhan sekurang-kurangnya sehingga 10 pagi esok untuk mendengar penangguhan mereka.
Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dan Asylum Access memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran itu.
Kumpulan pelarian itu berkata, pencari suaka daripada minoriti Chin, Kachin dan komuniti Islam bukan Rohingya melarikan diri daripada konflik serta penindasan di negara itu, antara mereka yang dihantar pulang ke sana.
Malaysia dilaporkan berkata, ia tidak akan menghantar pulang etnik Rohingya Islam atau pelarian yang berdaftar dengan UNHCR.
Tetapi, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, sekurang-kurangnya enam orang berdaftar dengannya yang turut akan dihantar pulang dan jumlah itu mungkin lebih ramai.
UNHCR tidak mempunyai akses ke atas kumpulan pelarian itu.
Semalam, Pengarah Amnesty Malaysia, Katrina Maliamauv memberi amaran penghantaran pulang itu akan menyebabkan mereka berisiko terhadap “penindasan, keganasan lanjur dan malah kematian”.