
Selamat Mulyano Juni, 37, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim S Indra Nehru.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM6,000 daripada Shafrullah Abu Kasim sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan oleh syarikat Khaffa Vision Enterprise, yang menjalankan urusniaga menjual buah kelapa sawit dengan lesen perniagaan MPOB tamat tempoh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 petang di pejabat MPOB Wilayah Butterworth, Pulau Pinang, 14 Okt lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM1,500 daripada individu sama, sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat individu berkenaan bagi kesalahan sama.
Selamat didakwa melakukan kesalahan itu pada 6.45 petang di sebuah Restoran Ayam Penyet PB di Parit Buntar, Perak pada 20 Okt lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wahida memohon mahkamah memberi ikat jamin sebanyak RM20,000, iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.
Selamat dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah kerana tidak lagi bekerja, selain hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai kerani sebanyak RM1,000 sebulan.
Katanya, dia juga perlu menanggung kos perubatan yang tinggi untuk bayinya yang berusia enam bulan dan menghidap kanser otak.
Indra kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.