Dakwaan Ahli Parlimen dipancing sokong PN dibuat ‘orang desperate’, kata Zuraida

Dakwaan Ahli Parlimen dipancing sokong PN dibuat ‘orang desperate’, kata Zuraida

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu berkata, kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim luntur selepas ketua pembangkang itu mendakwa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Zuraida Kamaruddin berkata, beliau dan pemimpin PKR lain keluar parti setelah menyedari kelemahan Anwar Ibrahim, yang dipamerkan ketua pembangkang itu sendiri.
PUCHONG:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Zuraida Kamaruddin, menepis dakwaan Ahli Parlimen dipancing untuk menyokong Perikatan Nasional yang dibuat Anwar Ibrahim sebagai orang terdesak.

Menurut Zuraida, beliau dan pemimpin PKR lain keluar parti setelah menyedari kelemahan Anwar, yang dipamerkan ketua pembangkang itu sendiri.

“Dakwaan Anwar itu adalah seorang ‘desperate’, seorang hilang hala tuju kerana tak dapat terima fakta,” katanya pada sidang media di Majlis Perbandaran Sepang.

Zuraida berkata, kepercayaan mereka luntur selepas presiden PKR itu mendakwa beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Membuatkan mereka ubah hala tuju mereka dan sokong kerajaan PN,” katanya.

Anwar pada Selasa menuduh PN memancing lima Ahli Parlimen PKR untuk keluar parti dan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Lima wakil rakyat itu adalah M Karuppaiya (Padang Serai), S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husain (Putatan), Michael Teo Yu Keng (Miri), dan Natrah Ismail (Sekijang).

Zuraida berkata, wakil rakyat pembangkang yang sudah beralih arah menyokong kerajaan PN berdasarkan prestasinya dalam menangani Covid-19 dan pertolongan kepada rakyat dari segi ekonomi.

“(Dalam) Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), banyak peruntukan diberikan kepada rakyat,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.