
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang mengetuai pasukan pendakwaan, bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan dan individu yang dimaksudkan itu.
“Kami mempunyai 125 individu dalam senarai saksi, tetapi tidak semua perlu dipanggil,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.
Lim, 60, merupakan ketua menteri Pulau Pinang dari Mac 2008 hingga Mei 2018.
Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan hari ini menyerahkan salinan laporan forensik daripada sebuah telefon, laporan bahagian analisis kewangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan laporan pakar mengenai projek tersebut kepada pihak pembelaan.
Terdahulu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim, pihak pembelaan dan pendakwaan mengadakan pengurusan kes pra-perbicaraan sebagai persiapan bagi perbicaraan yang dijadualkan bermula 8 Jun ini.
“Akan ada kenyataan saksi, tetapi pendakwaan mempunyai hak untuk bertanyakan soalan tambahan semasa pemeriksaan utama dan pemeriksaan semula,” katanya.
Semua empat pertuduhuan rasuah, dengan dua daripadanya mula dibaca di Mahkamah Sesyen Butterworth, akan dibicarakan di sini.
Pada 7 Ogos tahun lepas, Lim dituduh secara rasuah meminta suapan bagi membantu Pengarah Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bagi mendapatkan projek tersebut.
Beliau didakwa meminta 10% keuntungan syarikat berkenaan daripada Zarul Ahmad, pemilik syarikat berkenaan, berdekatan sebuah hotel di Mid Valley City di sini pada Mac 2011.
Pada 10 Ogos, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk meminta suapan RM3.3 juta untuk dirinya sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan projek dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.
Pada 11 Sept 2020, Lim dituduh di mahkamah sama dengan dua dakwaan menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilepaskan kepada dua syarikat, yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut negeri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang di Tingkat 21 bangunan Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Lim meminta dibicarakan atas semua tuduhan tersebut.
Beliau juga berdepan tuduhan berasingan dengan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.
Dalam kes ini, Lim dituduh pada 11 Ogos atas kedudukannya sebagai ketua menteri dan pengerusi lembaga pemerolehan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) ketika itu, untuk mendapatkan suapan sebanyak RM372,009 untuk isterinya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.