Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, persepakatan itu dicapai selepas menteri-menteri dari Umno bertemu beliau pada Isnin.
“Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka dalam (Jemaah Menteri) berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan (PPBM) dalam PRU15.
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada dalam (Jemaah Menteri). Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri Umno akan terus kekal berada di dalam (Jemaah Menteri).”
Kata Muhyiddin, pada masa ini, tumpuan utama kerajaan adalah untuk “memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara”.
Sehubungan itu, tambah beliau, langkah berkenaan penting kerana beberapa orang menteri Umno memegang portfolio penting yang secara langsung menyumbang kepada matlamat tersebut.
Umno pada perhimpunan agungnya di Kuala Lumpur Ahad lalu memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan menghadapi pilihan raya umum ke-15 bersendirian.
Namun, berkenaan langkah menarik balik sokongan secara “en bloc” terhadap kerajaan PN, parti itu menyerahkan kepada presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menetapkan tarikh yang sesuai.