
“Umno bekerjasama dengan MCA yang agak ekstrem suatu masa dulu,” katanya selepas menghadiri sebuah dialog dengan NGO mengenai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Tetapi, bekas perdana menteri itu yang pernah bekerjasama dengan DAP, mendapati parti itu “kadangkala boleh menjadi ekstrem”.
Beliau bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Harapan ketika menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.
“Terpulang kepada Umno,” katanya ketika ditanya jika parti itu, yang pernah diterajuinya, boleh bekerjasama dengan DAP.
Mahathir berkata, DAP perlu sedar Malaysia ialah negara berbilang bangsa.
“Anda tidak boleh bekerja untuk kaum sendiri saja.”
Terdahulu, FMT hari ini melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebagai berkata, tidak mustahil Umno menjalin kerjasama dengan DAP pada masa depan, jika parti itu membawa politik kesederhanaan yang boleh membantu memperkukuhkan kestabilan negara.
Bagaimanapun, beliau membayangkan kerjasama sedemikian sukar dijalin pada masa ini kerana imej perkauman parti itu, yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Cina.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menolak dakwaan itu dengan berkata, walaupun majoriti ahli DAP terdiri daripada orang Cina, namun perjuangannya bersifat pelbagai kaum dan agama.