Apandi sebak, nafi lobi mahu jadi peguam negara

Apandi sebak, nafi lobi mahu jadi peguam negara

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dilihat mengesat air mata, tegaskan sentiasa objektif dalam melaksanakan tugasnya termasuk dalam siasatan 1MDB.

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dilihat mengesat air mata ketika memberi keterangan, menyebabkan prosiding ditangguhkan seketika. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak pernah melobi untuk jawatan penasihat undang-undang tertinggi negara ketika menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, enam tahun lalu.

Sebaliknya, Apandi berkata pada 2015 beliau sebenarnya menantikan persaraannya daripada kehakiman pada tahun berikutnya.

Beliau memberi keterangan dalam saman fitnah terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang. Bekas peguam negara itu mendakwa Lim memfitnahnya dalam kenyataan pada 2019 bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” (Bahaya jika anggap Malaysia semakin berwibawa).

Beliau mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tiada kewibawaan selain mengamalkan berat sebelah ketika memegang jawatan peguam negara.

Apandi dilantik sebagai peguam negara menggantikan Abdul Gani Patail pada 28 Julai 2015. Katanya, tugas sebagai peguam negara bukan sesuatu yang mudah.

“Tugas peguam negara bukan saja untuk menasihatkan kerajaan persekutuan dan negeri, malah juga menjadi pendakwa raya.

“Sebagai pendakwa raya ada ribuan kertas siasatan diserahkan kepada saya dan sudah pasti saya menugaskan pula sebahagiannya kepada pegawai undang-undang di negeri berkaitan untuk diteliti, kecuali jika kes berprofil tinggi melibatkan personaliti tertentu,” katanya.

Apandi menyangkal cadangan peguam Sangeet Kaur Deo bahawa beliau tidak bertindak terhadap kertas siasatan 1MDB ketika memegang jawatan itu selama tiga tahun.

“Tugas ini menjejaskan kesihatan. Ia jawatan secara kontrak dan saya tidak menerima pencen daripadanya. Malah, saya mendapat pencen lebih rendah sebagai hakim kerana keluar sebelum persaraan.

“Itu pengorbanan yang saya lakukan,” katanya.

Apandi yang dilihat mengesat air mata berkata, beliau sekadar meluahkan perasaannya susulan dakwaan dilemparkan terhadapnya.

Hakim Azimah Omar kemudian membenarkan permintaan peguam M Visvanathan untuk mahkamah berehat seketika.

Apabila prosiding disambung semula, Apandi memohon maaf kepada mahkamah.

Saya kelaskan siasatan terhadap pembangkang sebagai ‘NFA’

Apandi juga memberitahu mahkamah beliau meneliti kertas siasatan secara objektif.

“Memandangkan peguam mendakwa saya dari Umno, saya (mahu mengatakan) pernah mengemukakan pendakwaan terhadap ahli Umno seperti Jamal Yunos kerana merusuh dan menyebabkan gangguan awam.

“Saya mengarahkan tuduhan difailkan terhadap anak Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan beberapa yang lain kerana menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad,” katanya.

Beliau juga berkata, siasatan dibuka terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dari PKR dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Bagaimanapun, Apandi tidak menyatakan apa tuduhan yang disiasat itu.

“Saya kemudian menggunakan budi bicara untuk tidak mendakwa mereka,” katanya.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.