Setahun tak dibayar gaji, pembantu rumah tanggung azab didera majikan, rakan sekerja

Setahun tak dibayar gaji, pembantu rumah tanggung azab didera majikan, rakan sekerja

Mangsa dipercayai didera akibat kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian.

Siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu cedera dan lebam pada muka, kepala, bahu, leher serta kaki dipercayai didera majikan dan dibantu oleh rakan sekerja mangsa.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipercayai menjadi mangsa dera selain tidak dibayar gaji selama satu tahun oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, berkata hasil serbuan bersama sepasukan anggota dari Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman, menjumpai beberapa alatan seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai digunakan suspek untuk mendera mangsa.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 24 tahun mengalami kesan kecederaan dan lebam pada beberapa bahagian badan iaitu muka, kepala, bahu, leher serta kaki dipercayai didera bukan saja oleh majikannya, malah rakan sekerja di rumah itu.

“Pihak polis mendapati mangsa didera oleh majikan dan dibantu rakan sekerja mangsa (pembantu rumah). Menurut mangsa, beliau sudah 16 bulan bekerja sebagai pembantu di rumah majikan tersebut dan tidak dibayar gaji selama satu tahun.

“Mangsa dipercayai didera akibat daripada kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian. IPO (Interim Protection Order) dari Mahkamah telah dimohon dan mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita di Damansara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihak polis telah menahan majikan dan juga rakan sekerjanya yang juga warganegara Indonesia tuduhan mendera di sebuah rumah di Taman Rainbow, Sentul, Kuala Lumpur.

Kedua-dua suspek telah ditahan reman oleh pihak polis selama enam hari bermula 19 April sehingga 24 April dan kes disiasat dibawah Seksyen 12 & 13 ATIPSOM 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.