17 rumah hangus dalam kebakaran di Putatan

17 rumah hangus dalam kebakaran di Putatan

Kejadian berlaku di Jalan Lok Kawi Lama-Kampung Dumpil, Putatan malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putatan berkata, semua mangsa kebakaran akan ditempatkan di Dewan Sri Keramat hari ini. (Gambar Bomba)
KOTA KINABALU:
Kira-kira 17 rumah hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Lok Kawi Lama-Kampung Dumpil, Putatan kira-kira 10.19 malam semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke kawasan kejadian sejauh 14km.

Anggota dari BBP Kota Kinabalu juga turut digerakkan ke tempat kejadian bagi membantu proses pemadaman api.

“Kemusnahan rumah kediaman jenis tidak kekal dianggarkan sebanyak 17 buah dengan 100% musnah terbakar.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selepas setengah jam pemadaman api oleh 30 anggota,” menurut kenyataan PGO Sabah hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Putatan memaklumkan semua mangsa akan ditempatkan di Dewan Sri Keramat hari ini.

Proses pemantauan di lokasi serta pengambilan data dan persediaan di pusat pemindahan sementara (PPS) masih dijalankan oleh agensi terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.