NGO desak KPM bertindak segera susulan pelajar dedah ‘gurauan’ guru di TikTok

NGO desak KPM bertindak segera susulan pelajar dedah ‘gurauan’ guru di TikTok

Warga pendidik perlu memberikan contoh terbaik, lebih peka dan sensitif semasa mengajar di dalam kelas.

Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan pelajar terbabit tidak boleh dipandang ringan dan jenayah rogol tidak boleh menjadi bahan jenaka.
PETALING JAYA:
Susulan pendedahan video tular di TikTok oleh seorang remaja perempuan yang mendakwa guru pendidikan jasmani di sekolahnya mempersendakan jenayah seks dalam kelas kelmarin, sebuah NGO hari ini mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dan tindakan segera diambil terhadap pelaku.

Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan pelajar itu tidak boleh dipandang ringan oleh pihak sekolah dan jenayah rogol sama sekali tidak boleh menjadi bahan jenaka.

Katanya, warga pendidik perlu memberikan contoh terbaik, lebih peka dan sensitif semasa mengajar di dalam kelas.

“Guru juga perlu ada sempadan dengan pelajar dan tidak memaksa pelajar menghadapi situasi memalukan dengan jenaka yang tidak menyenangkan.

“Saya berharap pihak sekolah dapat mengingatkan guru dan kaunselor agar lebih bertanggungjawab dan profesional dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, sebagai ibu bapa, terdapat keperluan untuk mereka bersikap tegas dan bersatu menuntut keharmonian gender yang lebih baik.

“Kita menentang diskriminasi gender dan gangguan seksual dalam semua bentuk. Wanita dan kanak-kanak perempuan dan lelaki yang mengalami kejadian seperti itu mempunyai hak untuk bersuara dan tidak harus menjadi mangsa dalam diam.”

Ain Husniza Saiful Nizam, pelajar Tingkatan 5 menjadi tumpuan di media sosial kelmarin selepas memuat naik video di TikTok, dengan memetik guru sekolahnya di Selangor berkata: “jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.”

Sehari selepas itu, beliau mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki sekolahnya .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.