
Hakim Tasnim Abu Bakar ketika menyampaikan penghakiman itu berkata, pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Katanya, keterangan saksi utama, yang juga dikatakan mangsa, tidak boleh dipercayai.
Beliau berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi, selepas saksi itu didakwa memberi jawapan bercanggah dengan keterangan terdahulunya di Mahkamah Sesyen Klang.
“Mahkamah mendapati keterangan saksi tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipercayai. Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu,” kata Tasnim.
Menurutnya, mahkamah turut membuat kesimpulan itu berdasarkan penilaian maksimum terhadap keterangan semua saksi pendakwaan, selain hujah lisan dan bertulis oleh kedua-dua pihak.
Pihak pendakwaan memanggil 11 saksi, termasuk ibu mangsa, pegawai polis dan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Yusof, manakala peguam Ashraff Diah mewakili Fathi.
Pada 1 Dis 2022, Fathi didakwa merogol gadis itu di sebuah hotel di ibu negara antara 2 hingga 10 pagi pada Disember 2021.
Dua hari sebelum itu, dia didakwa atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual fizikal dan melakukan hubungan seks dengan objek membabitkan remaja sama di depan Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun 2021 dan Februari 2022.
Pada 18 Sept 2025, Noridah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan kepada Fathi, selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan rogol dan satu pertuduhan amang seksual fizikal.
Prosiding ke atas baki enam pertuduhan belum dimulakan.
Mahkamah Tinggi Klang membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.