
Enam daerah berkenaan adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat, dan Sepang.
“Keputusan ini dibuat…bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Selangor mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob.
Sepanjang tempoh itu, pergerakan merentas negeri dan daerah di kawasan berkenaan tidak dibenarkan sama sekali, kecuali atas urusan kecemasan.
Ia juga menyaksikan premis makanan seperti restoran, trak makanan, penjaja, dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam sahaja.
Manakala stesen minyak, dan kedai runcit, serbaneka, dan keperluan harian, serta farmasi dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam. Stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.
Pasar harian, tani, awam dan minggu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang.
Meskipun begitu, di sebalik kawalan ketat ini, kerajaan mengumumkan bazar Ramadan di enam daerah terbabit “masih dibenarkan mengikut SOP ketat”, namun operasinya tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Tiga daerah Selangor yang lain, iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, dan Hulu Selangor masih berada bawah PKP Bersyarat (PKPB).
Negeri lain di mana semua daerahnya bawah PKP adalah Kelantan.
Dalam pada itu, kebenaran rentas negeri melalui Gelembung Pelancongan Bersasar ke kawasan PKPP ke PKPP, bagi tujuan pelancongan menggunakan agensi, digantung serta-merta.