
R Nathan, 45, mendakwa tuduhan terhadapnya yang dikenakan bawah Seksyen 124 L Kanun Keseksaan bukan satu kesalahan keselamatan bawah bidang kuasa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) (SOSMA).
“Mahkamah perbicaraan mempunyai kuasa budi bicara dan undang-undang untuk membolehkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan bawah Seksyen 388 (1) Kanun Prosedur Jenayah,” kata peguamnya, T Harpal Singh, di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid hari ini.
Harpal berkata, awal tahun lalu, seorang hakim Mahkamah Tinggi lain di sini juga memutuskan bahawa SOSMA tidak dapat menggugurkan bidang kuasa hakim untuk mendengar dan mempertimbangkan permohonan jaminan kerana mahkamah mempunyai kuasa yang diberikan untuk melakukannya.
Beliau juga menyebut bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada 2016 yang diputuskan oleh tiga hakim menyatakan bahawa kesalahan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara bukan kesalahan keselamatan bawah Seksyen 142K Kanun Keseksaan.
Harpal berkata, panel tiga hakim tersebut kemudian membenarkan pengkritik 1MDB, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kes mereka selesai.
Katanya, penahanan Nathan untuk siasatan tahun lalu di bawah SOSMA selama 28 hari juga tidak sah.
“Kuasa seorang pegawai polis untuk menahan seorang suspek bawah SOSMA tidak lagi wujud pada 31 Julai 2017, kerana resolusi yang diluluskan oleh Parlimen tidak diwartakan oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 4 (11) SOSMA menyatakan bahawa subseksyen (5) akan dikaji setiap lima tahun dan akan berhenti berkuat kuasa melainkan jika ada ketetapan yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen untuk memanjangkan tempoh operasi peruntukan berkenaan.
SOSMA, undang-undang digubal untuk menangani kes keganasan dan kesalahan keselamatan, mula berkuat kuasa pada 22 Jun 2012.
Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashyari Kamaruzaman mengemukakan pertuduhan yang dihadapi Nathan adalah kesalahan keselamatan dan polis serta pihak pendakwaan menggunakan SOSMA dengan betul.
Beliau berkata, Nathan juga tidak termasuk dalam pengecualian bawah Seksyen 13 (2) SOSMA yang akan diberi jaminan.
Peruntukan itu menyatakan bahawa jaminan boleh ditawarkan kepada tahanan yang berumur kurang dari 18 tahun, seorang wanita, atau jika seseorang itu sakit atau lemah.
“Nathan adalah lelaki berusia 44 tahun dan tidak ada bukti dia tidak sihat atau memerlukan rawatan perubatan,” katanya.
Ashyraf mengakui bahawa Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu membenarkan permohonan seorang bekas ejen hartanah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan pertuduhannya untuk pemerdagangan manusia, dikatakan sebagai kesalahan keselamatan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan Koh Chin Wah dibebaskan dengan syarat dia memberikan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Panel hakim itu menggunakan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah untuk memberikan jaminan.
Asyhraf berkata, undang-undang tertentu seperti Sosma mendahului undang-undang umum seperti Kanun Prosedur Jenayah.
Katanya, kuasa untuk menawarkan jaminan bukanlah secara eksklusif di tangan badan kehakiman tetapi juga di tangan eksekutif seperti polis.
Mahkamah akan memutuskan perkara itu pada 31 Mei ini.
November lalu, Nathan dan pengarah syarikat, Lim Kian Aik, 42, mengaku minta dibicarakan atas tuduhan dengan sengaja melakukan sabotaj sehingga mengganggu perkhidmatan air di Selangor di Taman Velox, Rawang.
Mahkamah Rayuan, dalam keputusan 2-1 bulan lalu, membenarkan Lim diikat jamin sebanyak RM50,000 kerana dia disahkan menderita sindrom koronari akut.
Seorang pegawai perubatan dari klinik Penjara Sungai Buloh berpendapat bahawa Lim berisiko tinggi mengalami serangan jantung.
Lim dan Nathan akan dibicarakan di hadapan Azhar atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
Kedua-dua mereka turut berdepan lima tuduhan lain di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di Mahkamah Sesyen.
Nathan turut mengaku tidak bersalah di hadapan majistret kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pelesenan.