
Menurut Nazatul Azrin Othman, 41, biarpun menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah sejak enam tahun lalu, beliau tidak menang tangan menerima tempahan sejak awal Ramadan.
“Saya jual lemang periuk kera dengan harga RM30 untuk 1kg dan berjaya siapkan 30kg hingga 40kg bersamaan 600 ke 640 unit sehari.
“Dalam masa dua minggu awal Ramadan, saya berjaya jual hampir satu tan lemang periuk kera yang dijual secara ‘cash on delivery’ (COD),” katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Tok Paduka di sini baru-baru ini.
Nazatul Azrin berkata, lemang periuk kera menjadi tarikan baharu di negeri ini kerana sukar diperoleh berbanding ketupat palas dan lemang buluh.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, selain jumlah kelongsong periuk kera agak terhad, beliau juga sukar mendapatkan bekalan daripada Orang Asli di Pahang apabila perkhidmatan kurier tergendala menjelang Aidilfitri.
Namun, katanya, beliau cuba memenuhi permintaan kerana tidak mahu menghampakan pelanggannya yang sedih tidak dapat pulang beraya susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, sebelum PKP pertama diisytiharkan tahun lalu, beliau membekalkan sendiri kira-kira satu tan lemang periuk kera segar ke beberapa kawasan terdekat di bahagian utara, seperti Langkawi, Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah, dan Butterworth, Pulau Pinang.
Nazatul Azrin, yang pernah berkhidmat di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Kuala Lumpur itu berkata, idea asal untuk mengusahakan lemang periuk kera tercetus apabila melawat saudaranya di Pahang pada 2014.
Katanya, proses membersihkan dua guni kelongsong periuk kera sahaja mengambil masa lebih 24 jam.
Ini tidak termasuk masa memasak pulut untuk dijadikan lemang, iaitu selama 45 minit, tambahnya.
“Kelongsong periuk kera perlu dibersihkan secara teliti dengan membuang miang dan durinya, diberus dengan berus mini khas dan dibasuh bersih menggunakan air mengalir bagi menghasilkan lemang periuk kera yang selamat untuk dimakan,” katanya.