Penyuntik perlu tunjuk jarum diisi vaksin AstraZeneca ikut kuantiti kepada penerima

Penyuntik perlu tunjuk jarum diisi vaksin AstraZeneca ikut kuantiti kepada penerima

Menteri Kesihatan berkata, siasatan lanjut berhubung dakwaan pemberian dos vaksin AstraZeneca kurang daripada sepatutnya sedang dijalankan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata pemantauan rapi khasnya di pusat pemberian vaksin AstraZeneca akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP pemberian vaksin dipatuhi sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan baharu kepada kakitangan perubatan di pusat pemberian vaksin (PPV) AstraZeneca susulan dakwaan vaksin itu diberikan kurang daripada dos ditetapkan.

Kini, penyuntik vaksin perlu menunjukkan jarum suntikan yang diisi vaksin mengikut kuantiti ditetapkan kepada penerima, sebelum memberikan suntikan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata penyuntik vaksin juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang sudah dikosongkan kepada penerima selepas melakukan suntikan.

“Penambahbaikan dalam SOP pemberian vaksin ini akan diperluaskan ke semua PPV yang lain.

“Pemantauan rapi terutamanya di PPV akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adham berkata, KKM memandang serius dakwaan pemberian dos vaksin AstraZeneca kurang daripada sepatutnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang tular di media sosial sejak 20 Mei lalu.

Susulan itu, katanya, KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

Aduan berhubung pemberian dos vaksin kurang daripada 0.5ml yang diperlukan tular selepas beberapa individu merakam diri ketika divaksin.

Bagaimanapun, seorang daripada individu itu kemudiannya dilaporkan diberikan dos optimum semula selepas membuat aduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.