Pemandu tren LRT digantung tugas

Pemandu tren LRT digantung tugas

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, ia sejajar dengan SOP kementeriannya.

Wee Ka Siong (kanan) melawat penumpang cedera di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mengumumkan kakitangan Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam pertembungan dua tren malam tadi sudah digantung tugas.

Katanya, langkah itu sebahagian daripada SOP kementeriannya.

“Kita ada SOP, mana-mana pihak yang dalam dapatan awal yang terlibat (dalam kejadian semalam) tidak lagi dibenar mengendalikan pengoperasian kerana kita perlu berlaku adil kepada semua dan kita kena siasat dari semua sudut.

“Semua tren di bawah LRT sebenarnya ialah (dikendali) secara automatik. Apa yang berlaku ialah apabila berlaku masalah teknikal, tren ini terpaksa ditarik secara manual, itu yang berlaku.

“Seorang pemandu secara manual kena bawa balik ke depoh,” katanya selepas melawat penumpang cedera di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terdahulu, Wee hari ini berkata, kemalangan itu berpunca daripada kesilapan teknikal yang menyebabkan tren tanpa penumpang dipandu secara manual.

“Penemuan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu gerabak yang memandu TR40 dalam arah salah,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata, tren TR40 dengan gerabak kosong sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke Stesen Dang Wang, tetapi ia didapati bergerak ke arah utara, sekali gus menyebabkan pelanggaran dengan tren TR81 yang membawa 213 penumpang.

Selain pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan, polis turut menjalankan siasatan ke atas kemalangan tren LRT itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pemandu tren pandu uji berusia 32 tahun yang mengalami luka ringan dalam kemalangan itu.

Setakat ini, katanya, lebih 60 mangsa masih dirawat di HKL, termasuk enam warga asing dari Filipina, Pakistan dan Bangladesh.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, polis akan membantu pasukan panel penyiasat khas menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HKL, Dr Herric Corray berkata, tiga mangsa sedang dirawat di unit rawatan rapi dan mereka dalam keadaan separa kritikal, tetapi stabil.

Katanya, kecederaan mereka termasuk pendarahan dalaman, pendarahan otak (brain haemorrhaging), tulang patah dan kecederaan di hati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.