
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago (DAP), Ahli Parlimen Selayang William Leong (PKR), ADUN Sentosa Gunaraj George (PKR), ADUN Rawang Chua Wei Kiat (PKR) dan ADUN Taman Templer Sany Hamzan (Amanah) menunggu lebih sejam di luar pintu pagar pejabat KDN selepas dihalang memasuki pekarangan.
Mereka akhirnya meninggalkan salinan memorandum di pintu pagar kementerian sebelum beredar.
“Kami meninggalkan memorandum di sini sebagai tanda protes,” kata Leong.
Walaupun pihak kementerian menghantar seorang pegawai untuk bertemu wakil rakyat berkenaan, beliau bukan dari pejabat Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin seperti yang diminta.
Pintu pagar KDN ditutup sebaik sahaja kumpulan tersebut tiba kira-kira 10.30 pagi dan dibuka semula beberapa minit selepas mereka beredar.

“Bila pintu pagar ditutup begitu, ia menghantar mesej kepada rakyat bahawa mereka tidak penting.
“Tiada rasa akauntabiliti,” kata Santiago.
Kematian Ganapathy, seorang peniaga susu lembu, pada 18 April, dan Sivabalan, seorang pengawal keselamatan, pada 20 Mei – mencetuskan dakwaan penderaan oleh polis.
Dalam temubual dengan FMT semalam, Ketua Polis Gombak, Arifai Tarawe menegaskan anggotanya tidak menganiaya atau membahayakan nyawa mana-mana tahanan, termasuk Ganapathy dan Sivabalan.
Katanya, Ganapathy dihadapkan ke mahkamah dan hospital beberapa kali namun tidak ada sebarang aduan sedemikian dibuat oleh beliau atau peguamnya ketika itu.
Bedah siasat di Institusi Perubatan Forensik Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan mendiang meninggal dunia kerana “necrotising fasciitis” pada kaki kanannya, yang dirumitkan lagi dengan sepsis, menurut polis.
Dalam kes Sivabalan, Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata hasil bedah siasat ke atas mendiang mendapati pengawal keselamatan itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Katanya, hasil bedah siasat oleh pakar perunding kanan forensik Hospital Kuala Lumpur juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal.
Bercakap dengan pihak media di luar pintu pagar kementerian hari ini, Sany berkata, beliau tidak mahu “membuat sebarang tuduhan”, itulah sebabnya mengapa pasukan petugas bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat dua kematian itu.
“Kami hadir di sini hari ini sebagai wakil rakyat, dan ini cara mereka layan kami?” soalnya.
“Ini sangat menyedihkan.”
Turut hadir di luar pintu pagar KDN adalah peguam Ganapathy, K Ganesh, yang menyeru agar para pemimpin kerajaan memandang serius perkara itu.