
Project Justice for All berkata SOP untuk kakitangan yang makan di tempat kerja mereka, di luar atau di kenderaan mereka perlu dijelaskan untuk mengelakkan daripada dikenakan denda secara tidak adil.
Pada sidang media hari ini, kumpulan itu berkata, keadaan kini lebih mendesak kerana ramai pekerja restoran, pengendali penghantaran makanan dan pemandu e-hailing menjalankan tugas mereka ketika pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara, yang bermula hari ini.
Kumpulan NGO yang terdiri daripada 12 peguam pro bono dan empat wakil rakyat – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADUN Kajang, Hee Loy Sian – berkata mereka telah menerima banyak aduan daripada pekerja, yang sama ada didenda atau diganggu oleh pihak berkuasa.
Mereka meminta Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan MKN untuk memastikan polis dan pihak penguatkuasa lain hanya menerapkan peraturan “tidak makan di dalam premis” kepada pelanggan dan bukan pekerja di restoran.
Mereka juga menyarankan agar pengendali penghantaran dan pemandu e-hailing dibenarkan makan di luar dengan penjarakan sosial.
Maria berkata mereka telah diberitahu mengenai lima kes di mana denda telah dikenakan.
Dia berkata satu daripadanya berlaku di Kajang, di mana polis mendenda seorang pemilik kedai RM1,500 setelah mendapati seorang pekerja warga Indonesia makan di kedai tersebut.
Terdapat juga kes di kawasan lain di Petaling Jaya di mana pengendali penghantaran dan pemandu e-hailing diganggu oleh pihak berkuasa ketika makan di luar atau di dalam kenderaan mereka.