Polis digesa benar suspek dapat khidmat peguam ketika sekatan penuh

Polis digesa benar suspek dapat khidmat peguam ketika sekatan penuh

Suspek boleh mendapat akses kepada keadilan hanya jika keluarga dimaklumkan supaya mereka boleh mendapatkan khidmat peguam pilihan, kata badan peguam.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata suspek mempunyai hak undang-undang dan perlembagaan untuk mendapatkan akses keadilan walaupun dalam tempoh sekatan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Polis perlu membenarkan suspek menghubungi ahli keluarga mereka untuk mendapatkan perwakilan undang-undang ketika prosiding reman, kata seorang peguam hari ini.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, mereka yang ditahan polis mempunyai hak undang-undang dan perlembagaan untuk mendapatkan akses keadilan walaupun dalam tempoh sekatan.

“Mereka berhak untuk diwakili oleh peguam pilihan mereka ketika hakim memutuskan sama ada perlu atau tidak mengeluarkan reman kepada polis untuk menyelesaikan siasatan mereka,” kata Rafique, yang juga pengerusi bersama ahli jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam.

Peguam itu berkata suspek akan mendapat keadilan hanya jika ahli keluarga diberitahu supaya mereka boleh mendapatkan peguam pilihan.

Rafique berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang) Takiyuddin Hassan bahawa peguam dibenarkan untuk hadir di mahkamah mewakili anak guam bagi prosiding reman.

Takiyuddin berkata peguam boleh hadir ketika tertuduh didakwa melakukan kesalahan sepanjang perintah sekatan penuh yang berkuat kuasa hari ini hingga 14 Jun.

Beliau berkata, mereka akan dibenarkan untuk pergi ke mahkamah bagi membuat permohonan jenayah lain.

Takiyuddin berkata, Majlis Keselamatan Negara dalam mesyuaratnya semalam mempertimbangkan keperluan kehadiran peguam di mahkamah.

“Kerajaan setuju untuk memberikan pengecualian kepada peguam untuk tujuan ini, dan kebenaran boleh diperoleh dari balai polis terdekat,” katanya.

Semalam, peguam membangkitkan kebimbangan mereka tidak dapat mewakili anak guam kerana sekatan 10km yang dikenakan bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Peguam Kitson Foong berkata, kenyataan menteri itu membolehkan peguam merentas sempadan daerah dan negeri untuk mewakili pelanggan.

“Saya harap kita tidak akan menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan kebenaran polis,” katanya, sambil menambah peranan peguam pada peringkat awal proses jenayah dapat dikurangkan jika suspek diberi jaminan polis.

Dia mencadangkan untuk kes-kes jenayah kecil, polis boleh merakam kenyataan dan meminta suspek datang semula setelah tempoh PKP penuh berakhir.

“Dengan cara ini, kesesakan di lokap dapat dikurangkan,” katanya.

Peguam KA Ramu berkata, peguam di bawah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk pergi ke mahkamah.

“Jawatankuasa Peguam ini akan meminta kumpulan peguam tersebut untuk ditempatkan di mahkamah rendah khusus bagi membantu orang-orang miskin dan memerlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.