
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu dicatatkan dari 24 Mei hingga 4 Jun.
Kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India adalah sebanyak tiga kes di Labuan dan satu kes di Kuala Lumpur.
“Kesemua tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes dari kluster Layangan Labuan.
“Manakala satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan,” katanya.
Hisham berkata, bagi 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian Afrika Selatan pula, enam kes dilaporkan di Johor, lima di Kelantan serta masing-masing satu di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu. Kesemua kes adalah jangkitan tempatan.
“Sehingga 4 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 138 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.”
Kes Variant of Concern (VOC) yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu:
- varian Beta (B.1.351);
- varian Alpha (B.1.1.7); dan
- varian Delta (B.1.617.2).
Variant of Interest (VOI) yang dilaporkan pula adalah seperti berikut, iaitu:
- varian Theta (P.3);
- varian Eta (B.1.525); dan
- varian Kappa (B.1.617.1).
Mengulas lanjut, beliau berkata varian Covid-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik ini.
Oleh itu, amalan mengenali varian SARS-CoV-2 mengikut negara ianya mula ditemui akan dihentikan mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).