
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pahang membabitkan satu lokaliti di Kampung Gunung Senyum, Temerloh yang berkuatkuasa 7 Jun selepas 22 kes positif dilaporkan setakat hari ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Di Sarawak pula, beberapa lokaliti termasuk empat rumah Panjang di Batang Oya, Dalat dikenakan PKPD berkuatkuasa 7 Jun.
“KKM mendapati berlaku peningkatan kes Covid-19 mendadak dalam tempoh satu minggu apabila 27 kes positif dilaporkan selepas saringan ke atas 40 orang penghuni rumah panjang di lokaliti tersebut.
“Beberapa lokaliti termasuk empat rumah panjang, satu sekolah rendah dan satu Klinik Kesihatan di Batang Oya, Dalat iaitu Rumah Panjang anak Umba; Rumah Panjang Tulu anak Sli; Rumah Panjang Duah anak Entingi; Rumah Panjang Balin anak Gema; Sekolah Kebangsaan St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh,” katanya.
Di Perak, beliau berkata PKPD membabitkan sebuah asrama pekerja kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Taiping berkuatkuasa pada 7 Jun dengan 75 kes positif direkodkan setakat ini.
“Sekatan pergerakan itu melibatkan Blok A, B, C dan D,” katanya.
Di Sabah, tiga lokaliti dikenakan PKPD berkuatkasa 7 Jun iaitu tiga perkampungan di Tawau – Kampung Blok 31; Kampung Sentosa, Blok 5, Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu sementara Felda Umas 4 di Kalabakan dan Apartment Taman Permata, Sandakan.
Ismail Sabri berkata, dua perkampungan dalam Mukim Ulu Kinta, Perak – Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah juga dikenakan PKPD berkuatkuasa esok selepas KKM mendapati kadar positiviti di kedua-dua perkampungan ini adalah tinggi dengan empat kes dilaporkan di Kampung Jelapang Baru manakala 11 kes positif di Kampung Sungai Tapah.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Silimpopon Mill dan Silimpopon Estate di Kalabakan dan Kampung Melikai, Kuala Penyu, Sabah serta satu lokaliti di Temerloh, Pahang iaitu Taman Perumahan dan Perkampungan Sekitar Gau.