Pusat Islam UTM ‘taksub’, wacana raikan kepelbagaian budaya patut dipupuk, bukan dihalang, kata Ramli Ibrahim

Pusat Islam UTM ‘taksub’, wacana raikan kepelbagaian budaya patut dipupuk, bukan dihalang, kata Ramli Ibrahim

Ramli berkata pihak yang beranggapan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa yang melibatkannya akan menyinggung perasaan, kemungkinan besar adalah pentaksub di Pusat Islam itu sendiri.

Ramli berkata hujah ‘menyinggung perasaan’ yang diberi untuk membatalkan program itu tidak boleh diterima dan adalah “alasan lemah yang terpancar daripada minda sempit dan tidak sejajar dengan pandangan semasa dunia.” (Gambar Facebook)
PETALING JAYA :
Lagenda tarian klasikal India, Ramli Ibrahim, menuduh Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai “taksub” kerana membatalkan program bersama pelajar melibatkan beliau atas alasan ia berisiko menyinggung pihak tertentu.

“Pihak yang beranggapan program (bicara) itu akan menyinggung perasaan, kemungkinan besar, adalah pentaksub di Pusat Islam itu sendiri,” kata Ramli di Facebooknya.

Beliau berkata program yang dibatalkan itu patut diteruskan kerana “adalah amat penting untuk pelajar menyesuaikan diri dengan kepelbagaian kebudayaan (dalam masyarakat) apabila mereka (tamat pengajian dan) meninggalkan persekitaran mono-budaya UTM.

Adalah baik untuk pelajar membiasakan diri dengan kepelbagaian kebudayaan dalam realiti dunia luar,” tambah Ramli.

Semalam, UTM menjelaskan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa melibatkan Ramli dibatalkan kerana tidak mahu menyinggung mana-mana pihak.

“Keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian,” kata universiti itu dalam kenyataan.

Respons berkenaan menyusul laporan FMT semalam yang mengenai kekecewaan Ramli selepas UTM mengarahkan pembatalan program terbabit pada saat akhir.

Ramli berkata hujah ‘menyinggung perasaan’ yang diberi untuk membatalkan program itu tidak boleh diterima dan adalah “alasan lemah yang terpancar daripada minda sempit dan tidak sejajar dengan pandangan semasa dunia.”

Beliau berkata pihak yang berfikiran sebegitu tidak harus dipertanggungjawabkan mendidik generasi muda Malaysia.

Ramli berkata, program sebegitu sepatutnya digalakkan bukan sahaja oleh UTM, tetapi semua institusi pengajian tinggi.

Semalam, Ramli memberitahu FMT bahawa walaupun terkilan dengan pembatalan itu, beliau tidak terkejut.

“Kontroversi seorang Melayu mempersembahkan tarian (klasikal) Hindu sudah wujud sekian lama,” kata Ramli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.