
Perdana Menteri berkata, pelan yang dibuat berdasarkan data, sains dan segala persiapan, termasuk dari segi pengurusan Covid-19, ekonomi dan program vaksinasi itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu.
“Beberapa menteri utama yang terbabit sudah pun duduk membentangkan secara kasar kepada saya. Pada dasarnya baik, tetapi belum lagi diperhalusi.
“Sudah sampai masa kita nak tetapkan satu ‘exit strategy’ atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar daripada masalah ini, tetapi ini adalah cabaran yang besar bergantung kepada kerjasama dan sokongan semua pihak.”
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di projek perumahan rakyat Sri Johor di Bandar Tun Razak, di sini yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.
Muhyiddin berkata, pelan itu juga antara lain sebagai makluman kepada rakyat mengenai perkembangan semasa dan fasa-fasa tertentu melibatkan pengurusan Covid-19 di negara ini.
“Ini akan kita teliti, dia (pelan) akan ada fasa satu, fasa dua…berdasarkan kepada data, sebagai contoh kalau (kes) Covid-19 kita lihat sudah ada petanda penurunan, tapi tak boleh lagi meraikan kerana fasa belum selesai. Kalau boleh kita mahu kes turun lagi.
“Ini bermakna kita kena bantu Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan penjagaan kesihatan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tak runtuh…dengan hospital, kemudahan katil, ventilator, kakitangan hospital kita mencukupi. Semua ini sedang kita laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang menimbang untuk menetapkan tarikh akhir bagi pendaftaran vaksinasi Covid-19.
Menurutnya, buat masa ini, pendaftaran dibuka sepanjang masa.
“Katakanlah (kita tetapkan) akhir Julai, jadi siapa belum lagi mendaftar, sila daftar. Kalau ada yang berbaki, kita bantu untuk daftar supaya semuanya sudah ada dalam sistem kita dan kita boleh rancang fasa-fasa seterusnya sehingga selesai program vaksinasi ini dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kuala Lumpur dijangka dapat mencapai imuniti kelompok lebih awal pada Ogos ini.
Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan pembukaan lebih banyak PPV, termasuk PPV mega dan program vaksinasi bergerak yang membolehkan ramai rakyat di kawasan berkenaan mendapatkan vaksin.
Mengulas program vaksinasi bergerak itu, Muhyiddin berkata, kaedah tersebut antara cara untuk menyegerakan program vaksinasi dan pihaknya bercadang menambah lebih banyak PPV bergerak di kawasan tertentu.
Pelaksanaan projek rintis vaksinasi bergerak yang bermula 7 Jun lepas di PPR Kampung Muhibbah adalah hasil kerjasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan bersama KKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan.
Program itu antara tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk memastikan 80% warga Kuala Lumpur selesai divaksinasi menjelang hujung Ogos ini.