Habuan RM40 tangkap anjing, aktivis bawa kes ke mahkamah

Habuan RM40 tangkap anjing, aktivis bawa kes ke mahkamah

Peguam Rajesh Nagarajan berkata permohonan itu difailkan bagi mengelak anjing jalanan dan peliharaan di Cameron Highlands disakiti.

Aktivis T Puspa Rani berkata, tidak mustahil anjing peliharaan juga diambil semata-mata untuk mendapat habuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak asasi haiwan memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) berhubung tawaran habuan wang tunai RM40 bagi setiap anjing yang ditangkap dan diserahkan kepada majlis itu.

T Puspa Rani yang memfailkan permohonan itu pada April lalu, memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan MDCH berhubung habuan bagi membunuh atau menangkap anjing berkenaan.

Dalam saman difailkan menerusi Tetuan Raj & Sach itu, beliau turut memohon semua anjing yang ditangkap hidup-hidup diserahkan kepadanya untuk dijaga.

Puspa Rani juga memohon perintah menghalang majlis terbabit melancarkan kempen seperti itu lagi pada masa akan datang.

Selain itu, beliau memohon ganti rugi untuk penderitaan dialami anjing berkenaan supaya dapat digunakan bagi penjagaan, rawatan perubatan dan pemulihan haiwan berkenaan.

Puspa Rani berkata, tidak mustahil anjing yang ditangkap akan diseksa, bertentangan dengan peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Dalam usaha meraih keuntungan, tidak mustahil ada yang mengambil anjing peliharaan untuk mendapatkan habuan RM40 itu,” katanya.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, tujuan permohonan itu adalah untuk mengelak anjing liar serta anjing peliharaan di Cameron Highlands disakiti.

“Saya percaya ini kali pertama permohonan seumpama ini difailkan terhadap pihak berkuasa,” katanya.

Mahkamah Tinggi Temerloh akan mendengar permohonan izin meneruskan kes itu terlebih dulu pada 14 Julai.

FMT pada Januari lalu melaporkan pihak berkuasa berkenaan menangguhkan kempen menangkap anjing liar itu susulan bantahan pencinta haiwan di Facebook.

Bagaimanapun, wakil majlis berkenaan berkata, keputusan menangguhkan kempen itu untuk sementara waktu adalah disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.