KPMG nafi tuduhan mengenai audit 1MDB, akan lawan saman kerajaan

KPMG nafi tuduhan mengenai audit 1MDB, akan lawan saman kerajaan

Firma audit KPMG Malaysia menafikan tuduhan kecuaian dan pelanggaran kontrak dalam audit penyata kewangan 1MDB dari 2010 hingga 2012.

Kerajaan dan 1MDB menuntut kerugian atas pelanggaran kontrak yang didakwa dilakukan rakan kongsi KPMG sebagai juruaudit 1MDB. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Firma audit KPMG Malaysia menafikan tuduhan kecuaian dan pelanggaran kontrak dalam audit penyata kewangan 1MDB dari 2010 hingga 2012.

“Semua tuduhan yang dilaporkan dalam berita itu dipertikaikan dan dakwaan terbabit akan dicabar,” kata KPMG dalam satu emel ke Reuters, sambil menyatakan ia ‘kecewa’ dengan tuduhan itu.

Semalam, kerajaan dan 1MDB dilaporkan memfailkan tuntutan berjumlah USD5.64 billion (RM23.63 billion) terhadap 44 rakan kongsi KPMG Malaysia susulan dakwaan kecuaian dan pelanggaran kontrak dalam audit penyata kewangan bermula 2010 hingga 2012.

Plaintif menuntut kerugian atas pelanggaran yang dipercayai dilakukan oleh rakan kongsi terbabit dalam peranan mereka sebagai juruaudit untuk 1MDB.

Dalam penyata tuntutan yang dilihat FMT, plaintif berkata lebih USD5.6 billion daripada 1MDB telah disalah guna di bawah arahan bekas perdana menteri Najib Razak dan dilaksanakan oleh pengurusan, ‘melalui pelbagai transaksi penipuan yang dilakukan terhadap 1MDB, untuk keuntungan Najib dan sekutunya dan bertentangan dengan kepentingan 1MDB serta Kementerian Kewangan’.

Daripada USD5.64 billion, sejumlah USD3.197 bilion disalah guna pada 2010, 2011 dan 2012 ketika KPMG menjadi juruaudit bagi 1MDB.

Kerajaan berkata ia mengalami kerugian dalam bentuk ‘pendahuluan yang tidak dapat dipulihkan untuk menyelamatkan 1MDB dan anak syarikatnya daripada liabiliti di bawah pelbagai sekuriti hutang’.

“Kerugian ini disebabkan oleh transaksi penipuan dan salah guna oleh (bekas perdana menteri) Najib dan syarikat pengurusan di bawah arahannya,” kata mereka.

Plaintif berkata, KPMG juga gagal menjelaskan perkara berkaitan percanggahan dalam perjanjian usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International, dan tidak ada penyelewengan di bawah arahan Najib itu dilaporkan oleh KPMG ketika ia menjadi juruaudit 1MDB.

Sebelum ini, menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan berbincang dengan KPMG berkenaan peranan mereka dalam 1MDB. Ini dilakukan selepas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mempersoalkan mengapa kerajaan tidak bersemuka dengan juruaudit KPMG.

Perkara itu dinyatakan dalam perbicaraan rasuah dan penggubahan wang haram 1MDB oleh Najib bahawa 1MDB membayar USD1 bilion pada 2009 untuk 40% kepentingan usahasama itu sementara PetroSaudi memegang 60% kepentingan.

1MDB kemudiannya membayar keseluruhan berjumlah USD830 juta antara 2010 dan 2011 bagi tujuan sama. Menjelang 2012, ia menyatakan jumlah itu bernilai USD2.22 bilion.

“Juruaudit gagal melaporkan perkara berkaitan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” kata penyata tuntutan itu.

Kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.