
Dalam kenyataan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan “whole-of-nation”.
Beliau berkata, MPN juga bersetuju menjemput wakil daripada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menganggotai majlis itu.
“MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar daripada pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing,” katanya yang juga Menteri Penyelaras PPN.
Beliau berkata, antara pakar terbabit adalah Nor Mohamed Yakcop, Azman Mokhtar, Anthony Fernandes, Dr Adeeba Kamarulzaman, Wong Chun Wai, Michael Kang, Dr Habibah Abdul Rahim, Dr Hartini Zainuddin dan Dr Sivakumar Thurairajasingam.
Katanya, keanggotaan wakil pembangkang, tokoh dan pakar pelbagai sektor akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.
“MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan,” katanya.
Menurutnya, MPN akan menyampaikan maklumat mengenai aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi yang akan dilancarkan 26 Julai ini.