Rogol budak OKU 12 tahun, jurukimpal dipenjara 25 tahun

Rogol budak OKU 12 tahun, jurukimpal dipenjara 25 tahun

Tertuduh berusia 27 tahun mengaku merogol mangsa yang dijaga isterinya sejak masih bayi.

Tertuduh berusia 27 tahun mengaku melakukan kesalahan itu sekitar pertengahan Jun dan pada 19 Julai lepas. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang jurukimpal dihukum penjara 25 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini kerana merogol anak saudara isterinya yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun.

Hakim Manira Mohd Nor memerintahkan tertuduh yang mengaku salah itu, dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi tuduhan pertama serta 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua.

Manira mengarahkan dua hukuman itu berjalan secara berasingan, dengan hukuman bagi tuduhan pertama bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Julai lalu, sebelum diteruskan dengan tempoh hukuman seterusnya.

Tertuduh berusia 27 tahun itu mengaku melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Karak di sini antara 11 pagi dan 12 tengah hari sekitar pertengahan Jun lepas dan pada 11 pagi 19 Julai lepas, menurut laporan Bernama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman sebat yang lebih supaya hukuman penjara dapat dikurangkan atas alasan dia mempunyai seorang anak kecil.

Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Md Ali memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang OKU pembelajaran yang dijaga isterinya sejak mangsa masih bayi.

Katanya perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa mengadu kepada neneknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.