Pembangkang desak Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Pembangkang desak Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata kenyataan Takiyuddin Hassan semalam mengenai Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan pada 21 Julai lalu didakwa mengelirukan dewan.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan ordinan berkaitan bukan saja mengelirukan Dewan, malah menyebabkan seluruh rakyat bingung, kata pembangkang.
KUALA LUMPUR:
Pembangkang mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) membuat desakan itu berikutan kenyataan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, mengenai Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan itu pada 21 Julai lalu.

“(Peraturan Mesyuarat) 36(12) berkenaan kenyataan mengelirukan Dewan kerana semalam Kota Bharu sudah mengeluarkan kenyataan bukan sahaja mengelirukan Dewan, tapi seluruh rakyat.

“Beliau menyatakan enam ordinan sudah dibatalkan pada 21 Julai. Bila rakan-rakan peguam menyemak warta kerajaan, tidak ada sebarang pemakluman itu atau warta yang dikeluarkan mengumumkan bahawa sejumlah ordinan sudah dibatalkan.

“Jadi perlu penjelasan segera atau YB Kota Bharu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana sudah mengelirukan Dewan ini. Saya pohon Speaker panggil Kota Bharu ke Dewan sekarang untuk beri penjelasan kerana kesannya kepada seluruh rakyat…(penjelasan) sekarang,” katanya dalam sidang khas di Parlimen.

Terdahulu, Takiyuddin yang mencelah ketika sesi Dewan, memaklumkan bahawa beliau hanya akan memberikan penjelasan mengenai pengumumannya semalam, pada Isnin depan, iaitu hari terakhir sidang khas Parlimen seperti diputuskan oleh Speaker.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, cara Takiyuddin menjawab isu pembatalan Ordinan Darurat menggambarkan isu terbabit belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Takiyuddin juga kelihatan cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pembangkang dengan berselindung di sebalik Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

“Kalau tengok cara menteri jawab, saya pasti 100% belum ada perkenan Agong (untuk pembatalan Ordinan Darurat), dan kalau itu tidak (berlaku), apa maknanya?” kata Anwar.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan isu mengenai polemik pembatalan Ordinan Darurat hanya akan dibuat pada Isnin ini seperti diperuntukkan dalam aturan urusan mesyuarat (AUM) walaupun berulang kali dihujani desakan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Semalam kita bercakap mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi sebab lama kita tak jumpa, jadi kucar-kacir sikit, maka kita campur rojak semua perkara dalam satu sesi.

“Sesi ini ada lima hari, justeru seperti diterbitkan AUM, semalam kita patut bercakap mengenai PPN, ini penjelasan oleh Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba), esok Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, kemudian Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz), manakala Isnin ialah perkara bersangkut-paut mengenai darurat.

“Saya nak lancarkan prosiding ini supaya cukup masa perbahasan. Semalam, saya sudah maklumkan, menteri undang-undang kena jawab semua persoalan dibangkitkan, termasuk daripada pembangkang, mengenai apa diperkatakan beliau semalam.

“Ini bagi mengesahkan sama ada kerajaan sudah putuskan untuk batalkan atau menarik balik, berkuatkuasa 21 Julai lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.