Kakitangan KTMB maut elak babi melintas

Kakitangan KTMB maut elak babi melintas

Dozian Harun, 53, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, selepas terbabit kemalangan pada 7 pagi tadi.

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas melanggar pencawang elektrik kerana mengelak seekor babi. (Gambar facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas kereta dipandunya merempuh pencawang elektrik ketika cuba mengelak seekor babi melintas di Kota Bharu, Kelantan, pagi tadi.

Mangsa, Dozian Harun, 53, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas terbabit kemalangan pada 7 pagi di Jalan Salor Baru.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud, kejadian berlaku ketika mangsa dan anak lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Tanah Merah.

Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran haiwan itu yang melintas di hadapan menyebabkan kereta dipandunya terus hilang kawalan.

“Memandangkan jaraknya terlalu dekat, mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya dan terlanggar peti pencawang elektrik.

“Dia mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 10 pagi.

“Manakala anak lelakinya pula mengalami luka ringan akibat kemalangan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.