Polis kenal pasti 29 individu terlibat perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’

Polis kenal pasti 29 individu terlibat perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’

Polis menerima kira-kira 20 laporan dibuat oleh orang ramai bagi membantah penganjuran perhimpunan 'Keluar dan #Lawan'.

Semalam, ratusan individu dilaporkan berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan, menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Polis menerima kira-kira 20 laporan dibuat oleh orang ramai bagi membantah penganjuran perhimpunan “Keluar dan #Lawan” yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini, 29 individu dikenal pasti dan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan, manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar.

“Semua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur dan peserta perhimpunan tersebut kerana pihaknya sudah berulang kali memberi peringatan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Polis telah mengesan insiden di mana penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas telah melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya

Semalam, FMT melaporkan ratusan individu berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan, menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, katanya, kes akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan akta-akta lain yang relevan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.