3 lagi kes Covid-19 berkait sidang khas Dewan Rakyat

3 lagi kes Covid-19 berkait sidang khas Dewan Rakyat

Ini menjadikan keseluruhan jangkitan meningkat kepada 88 kes.

Kes baharu itu termasuk mereka yang menghadiri sidang Parlimen dari 26 hingga 29 Julai dan kontak rapat mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan tiga lagi kes Covid-19 berkaitan sidang khas Dewan Rakyat akhir bulan lalu, menjadikan keseluruhan 88 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes itu membabitkan individu yang menghadiri sidang khas dari 26 hingga 29 Julai lalu dan kontak rapat mereka.

Katanya, tiga kes baharu itu dilaporkan semalam dan mempunyai nilai kitaran ambang antara 19.15 hingga 22.27, yang bermaksud kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan menunggu keputusan akhir. Semuanya mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah mendapat vaksin lengkap.

“Hasil siasatan mendapati mereka juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalani kuarantin kendiri, setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan semua individu yang hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan menjalani ujian saringan Covid-19 serta mendapatkan rawatan segera jika mempunyai gejala.

Jumaat lalu, Hisham berkata, enam sampel yang diambil mungkin membabitkan mereka yang dijangkiti varian Delta.

Katanya, hasil siasatan KKM setakat ini mendapati kemungkinan besar perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu memberi risiko kepada penularan Covid-19 di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.