Bantu P Pinang tingkat vaksinasi, Guan Eng rayu Putrajaya

Bantu P Pinang tingkat vaksinasi, Guan Eng rayu Putrajaya

Bekas ketua menteri itu berkata, 99% pesakit Kategori 5 di Pulau Pinang tidak divaksin.

Lim Guan Eng berkata, Hospital Pulau Pinang menyaksikan lonjakan mendadak kemasukan pesakit Covid-19 dan ada keperluan untuk lebih banyak katil ICU.
PETALING JAYA:
Dengan kes Covid-19 di Pulau Pinang berlegar sekitar 1,000 kes setiap hari, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan persekutuan memberikan lebih banyak bantuan kepada negeri itu untuk meningkatkan vaksinasi dan sistem kesihatannya.

Khamis lalu, Pulau Pinang mencatatkan 1,022 kes, rekod baharu untuk negeri itu yang bergelut untuk membendung jangkitan itu kebelakangan ini.

Lim yang juga bekas ketua menteri mendapati kadar vaksinasi di Pulau Pinang jatuh daripada sasaran 30,000 dos sehari, walaupun jangkitan kekal tinggi.

“Bagi Ogos, sasaran 30,000 dos dicapai hanya pada 5 Ogos, dengan yang terendah ialah 21,614 dos sehari pada 1 Ogos.

“Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bercakap untuk mencapai 40,000 dos sehari bulan ini, tetapi dengan ketidaktentuan bekalan, mencapai sasaran purata 30,000 dos sehari mungkin sukar.

“Bolehkah kerajaan persekutuan menjamin penghantaran vaksin segera untuk membolehkan dos 40,000 sehari dicapai pada akhir Ogos?” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, memastikan rakyat Pulau Pinang divaksin ialah “satu-satunya perlindungan daripada risiko kematian tinggi akibat Covid-19”, dengan 99% pesakit Kategori 5 tidak divaksin.

“Tambahan, Kementerian Kesihatan perlu memberikan lebih banyak sumber untuk memperluaskan sistem sokongan kesihatan kita, seperti menyediakan katil Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jabatan Pesakit Luar di Hospital Pulau Pinang perlu dijadikan wad pemerhatian dan rawatan awal untuk pesakit Covid-19 susulan lonjakan mendadak dalam pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta kemasukan ke wad hospital.”

Katanya, kepartisanan politik perlu diketepikan demi kebaikan negara supaya tiada halangan birokratik untuk segera menghantar vaksin dan melaksanakan langkah kesihatan awam seperti ujian besar-besaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.