
Dominic Puthucheary dan Bastian Pius Vendargon bersetuju bahawa di bawah perlembagaan persekutuan soal pembubaran Parlimen adalah tertakluk kepada budi bicara Agong sepenuhnya.
Baginda kemudian boleh memikirkan tindakan sesuai jika pilihan raya dianggap tidak wajar diadakan dalam keadaan wabak, kata mereka.
Susulan itu perlembagaan membolehkan Agong memilih calon yang ‘paling berkemungkinan’ mendapat sokongan majoriti,” kata Puthucheary kepada FMT.
“Perkataan ‘berkemungkinan’ digunakan kerana Agong tidak tahu sama ada calon itu memiliki keyakinan rakyat dan Dewan Rakyat. Langkah seterusnya, dari segi kewajipan perlembagaan ialah mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat.”
Katanya, memandangkan Muhyiddin Yassin sehingga kini tidak menguji majoritinya di Parlimen adalah wajar untuk menggelarnya ‘Perdana Menteri de facto, bukan berperlembagaan.’
“Berhubung pelantikannya oleh Agong, beliau tidak menerima pengendorsan Dewan Rakyat seperti diperlukan dalam demokrasi berparlimen dan berperlembagaan.”
Vendargon berkata, jika Perdana Menteri tidak meletak jawatan, Agong boleh mengarahkannya segera memanggil sidang Parlimen bagi memutuskan siapakah yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Perdana Menteri boleh diarahkan memanggil Parlimen bersidang supaya Ahli Parlimen boleh memutuskan sesama mereka siapakah yang mempunyai sokongan majoriti.
“Individu itu kemudian boleh menghadap Agong dengan mandat Dewan Rakyat, seterusnya baginda melantiknya sebagai Perdana Menteri baharu.”
Dilema Perak
Berhubung contoh duluan yang berlaku ketika krisis perlembagaan di Perak pada 2009, kedua-duanya bersetuju pemimpin baharu mesti mempunyai mandat rakyat untuk memerintah.
Puthucheary menganggap Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terkhilaf apabila memutuskan pertukaran kerajaan Perak mematuhi perlembagaan, malah menyifatkannya “keputusan politik tanpa berlandaskan undang-undang perlembagaan.”
“Lantikan bukan saja mesti kehendak sesebuah parti. Ia patut mewakili rakyat. Jadi apa yang berlaku di Perak adalah salah.”
Vendargon berpendapat asalkan individu yang dipilih oleh Agong memenangi undi percaya bagi membuktikan kesahihannya maka ia adalah seiring dengan peruntukan perlembagaan.
“Mereka tidak boleh mengelaknya dan membiarkan persoalan itu terus tergantung.”