Mahkamah tentukan merit permohonan aktivis hak haiwan pada 23 Ogos

Mahkamah tentukan merit permohonan aktivis hak haiwan pada 23 Ogos

Peguam berhujah T Puspa Rani mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Majlis Daerah Cameron Highlands.

Aktivis hak haiwan, T Puspa Rani mahu semua anjing yang ditangkap secara hidup dan dihantar kepada Majlis Daerah Cameron Highlands, dilepaskan untuk dijaganya. (Gambar Bernama)
TEMERLOH:
Mahkamah Tinggi di sini akan menentukan pada 23 Ogos ini sama ada akan mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan seorang aktivis hak haiwan terhadap keputusan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) memberi ganjaran RM40 bagi setiap ekor anjing yang ditangkap dan diserahkan kepadanya.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili T Puspa Rani berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan ex parte sama ada kebenaran perlu diberikan.

“Saya berhujah terdapat merit dalam permohonan itu kerana beliau mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu,” katanya dalam prosiding secara maya.

Rajesh berkata, Puspa Rani menjadi aktivis hak haiwan sejak sekian lama dan pernah memfailkan tindakan sama terhadap PBT lain.

T. Puspa Rani

Puspa Rani, yang memfailkan permohonan April lalu, mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan MDCH mengumumkan ganjaran untuk pembunuhan atau penangkapan haiwan itu.

Dalam permohonan itu, beliau mahu semua anjing yang ditangkap secara hidup, dilepaskan untuk dijaganya.

Puspa Rani juga mahu perintah larangan dikeluarkan terhadap MDCH untuk memastikan tiada kempen sedemikian dilancarkan kelak.

Beliau turut menuntut ganti rugi ke atas semua kecederaan yang dialami anjing itu supaya dana terbabit boleh digunakan untuk menjaga haiwan berkenaan, memberikan rawatan perubatan dan pemulihan.

Menurut Puspa Rani, tidak dapat dinafikan anjing yang ditangkap itu akan menghadapi penderaan kejam dan bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Dalam usaha mendapatkan lebih banyak wang, dapat dijangkakan haiwan peliharaan mungkin ditangkap untuk RM40.”

Januari lalu, FMT melaporkan MDCH menangguhkan kempen penangkapan anjing terbiar susulan bantahan pencinta haiwan di Facebook.

Bagaimanapun, wakil MDCH berkata, keputusannya membatalkan kempen itu, buat masa ini adalah kerana perintah kawalan pergerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.