Ismail, Hasni bincang pendirian Umno dan kerajaan Johor, kata sumber

Ismail, Hasni bincang pendirian Umno dan kerajaan Johor, kata sumber

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan mesyuarat itu sebagai pertemuan biasa.

Mesyuarat tertutup hampir dua jam antara Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Biro Politik Umno Johor diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.
JOHOR BAHRU:
Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan mesyuarat tertutup dengan Biro Politik Umno Johor dikatakan membincangkan soal pendirian dan ketetapan kerajaan negeri itu terhadap pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat hampir dua jam di Saujana di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad itu turut dihadiri Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed dan beberapa pucuk pimpinan negeri.

“Mesyuarat bincang pendirian dan ketetapan Umno Johor dan kerajaan negeri. Apa selepas ini,” menurut sumber dalaman Umno Johor.

Kenderaan membawa Ismail dilihat memasuki pekarangan Saujana pada 2.15 petang tadi sebelum meninggalkan kediaman itu kira-kira dua jam kemudian.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat berkenaan dan FMT cuba mendapatkan komen pimpinan Umno Johor.

Sementara itu, Nur Jazlan ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, menyifatkannya sebagai pertemuan biasa.

“Tiada apa, hanya pertemuan biasa dan makan-makan,” katanya ringkas.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Ismail di Istana Pasir Pelangi pagi tadi dan pertemuan itu berlangsung lebih sejam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.