Pendaftaran MUDA ditolak akibat campur tangan politik, kata Anwar

Pendaftaran MUDA ditolak akibat campur tangan politik, kata Anwar

Presiden PKR berkata menteri dalam negeri patut menyemak permohonan parti itu secara 'adil dan objektif' selaras Akta Pertubuhan 1966.

Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet menunjukkan surat daripada menteri dalam negeri.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, keadaan “pelik” bagaimana permohonan pendaftaran parti MUDA ditolak adalah akibat campur tangan politik.

Rayuan MUDA untuk didaftarkan sebagai parti politik ditolak untuk kali kedua tanpa sebab semalam, beberapa minit sebelum pendengaran kes semakan kehakiman berhubungnya.

Naib Presiden MUDA Lim Wei Jiet berkata, barisan penaja MUDA menerima email daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin telah menolak rayuan pendaftarannya.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar menggesa Hamzah menyemak semula pendaftaran MUDA secara “adil dan objektif” sejajar dengan Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, kegagalan memastikan proses sewajarnya dalam permohonan MUDA itu adalah satu lagi contoh serangan terhadap demokrasi Malaysia oleh kerajaan yang nampak tidak kisah melanggar semua norma perlembagaan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Awal tahun ini, JPPM menolak permohonan pendaftaran MUDA, seterusnya parti itu memfailkan rayuan kepada menteri dalam negeri pada Februari. Hamzah bagaimanapun tidak memberikan respons sehingga semalam.

Penolakan itu hanya beberapa minit sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya mendengar prosiding oleh parti berkenaan yang dibuat menerusi Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memaksa kementerian berkenaan membuat satu keputusan.

Parti itu akan mencabar keputusan menteri berkenaan di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.