Jangkitan cecah 1,867 kes, Ahli Parlimen gesa ‘lonjakan kapasiti’ di P Pinang

Jangkitan cecah 1,867 kes, Ahli Parlimen gesa ‘lonjakan kapasiti’ di P Pinang

Usaha vaksinasi lebih agresif diperlukan di negeri itu, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap dengan penerima vaksin di pusat vaksinasi di Gurney Paragon Mall, semalam. Beberapa pusat pemberian vaksin di Pulau Pinang ditutup akibat kekurangan bekalan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Jumlah jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang mencapai rekod baharu hari ini dengan 1,867 kes, menunjukkan usaha vaksinasi lebih agresif diperlukan di negeri itu, kata seorang Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, negeri itu kini berdepan kekurangan bekalan vaksin, sehingga mengakibatkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) terpaksa ditutup.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata “lonjakan kes yang mengejutkan” itu adalah bersamaan dengan 9,000 kes di Lembah Klang jika melihat pada perbandingan jumlah penduduk.

Rekod tertinggi di Pulau Pinang sebelum ini adalah pada 11 Ogos lalu dengan 1,385 kes.

Sim berkata apabila “operasi lonjakan kapasiti” dilaksanakan untuk meningkatkan pemberian vaksin di Lembah Klang, kes jangkitan dilihat menurun kepada 5,000 sehari.

“Pulau Pinang juga mesti mendesak untuk mendapatkan lebih vaksin bagi negeri ini. Saya menggesa Perdana Menteri ‘caretaker’ supaya membuat sumbangan terakhir kepada penduduk di utara dengan memulakan “operasi lonjakan kapasiti” di Pulau Pinang, Kedah serta wilayah utara,” katanya dalam kenyataan.

Kedah hari ini merekodkan 1,852 kes.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng tutut mendesak usaha lonjakan kapasiti pemberian vaksin di Pulau Pinang memandangkan peningkatan jangkitan di situ.

Pulau Pinang mengalami kekurangan vaksin sejak kebelakangan ini, dengan empat pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan beberapa dari swasta terpaksa ditutup kerana ketiadaan bekalan.

Negeri itu telah memberikan 962,161 dos pertama atau 54% vaksin dalam 1.3 juta penduduk disasarkan setakat 15 Ogos. Mereka yang telah menerima dos kedua pula seramai 506,626 atau 28%.

Data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menunjukkan 14,508 kes dalam tempoh dua minggu lalu dengan 7,865 kes aktif. Seberang Perai Tengah kekal menunjukkan bilangan kes tertinggi iaitu 544 setakat semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.