
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua 18 Ahli Parlimennya akan menterjemahkan sokongan itu dalam akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“PAS menamakan dan mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri sebulat suara,” katanya kepada FMT.
Malam tadi, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih Ismail sebagai calon perdana menteri baharu.
Selain PAS dan BN, rakan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyatakan pendirian akan menyokong pencalonan Ismail.
Ismail dilantik timbalan perdana menteri Julai lalu selepas menjadi menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin Yassin yang berundur daripada jawatan tertinggi itu selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Semalam, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-9 kepada Istana Negara.
Ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya 4 petang ini untuk mengemukakan SD secara bertulis.