
Shahrir, yang juga ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, partinya juga sudah memberi kuasa kepada Ahli Parlimennya untuk terus bersama Bersatu dalam kerajaan pimpinan naib presiden Umno itu kelak.
“Terserahlah kepada Ahli Parlimen Umno bawah kepimpinan Ismail Sabri membuktikan kerajaan barunya lebih berkesan dari kedua-dua kerajaan sebelum ini.
“Apapun tahniah kepada kepimpinan parti yang sentiasa menekankan kepada sikap dan pendirian cara bersama atau ‘en bloc’,” katanya merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ismail kerana dipilih memimpin kerajaan gabungan Barisan Nasional-Perikatan Nasional-Gabungan Parti Sarawak.
Katanya dalam catatan di Facebook, walaupun tercetus pelbagai episod percanggahan pendapat dalam kalangan kepimpinan parti, Umno tidak pernah mementingkan diri sendiri dalam menentukan calon tunggal perdana menteri, malah menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Ahli Parlimen mereka.
“Perbezaan pendirian antara Ahli Parlimen dengan parti adalah suatu yang baharu bagi Umno.
“Namun, apabila soalnya adalah pengisian jawatan PM, parti tidak pernah mengecewakan pemimpin mereka walau apa pun sikap pemimpin itu terhadap parti,” tegasnya.
Menyingkap perpecahan dalaman Umno, Shahrir berkata, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Umno berada dalam keadaan “luar biasa”.
Akibat kekalahan besar Umno dan BN dalam PRU14, katanya, Ahli Parlimen Umno sanggup mengkhianati kepercayaan parti dengan melompat ke parti lain.
“15 (Ahli Parlimen) ke Bersatu. Seorang ke Warisan. Itu di peringkat Parlimen. Di Sabah, sehingga bertukar kepimpinan di peringkat bahagian,” katanya.
“Setelah Langkah Sheraton (bermulanya kerajaan PN pimpinan Bersatu), Ahli Parlimen Umno ada yang berasa balik ada jawatan dalam kerajaan atau badan-badan berkaitan kerajaan.”
Beliau berkata, kedudukan Umno dan BN bersama kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tidak pula berasaskan apa-apa perjanjian gabungan.
“Ia semata-mata berasaskan persetujuan parti untuk bersama-sama Bersatu, PAS dan GPS membentuk sebuah kerajaan,” katanya.
Lewat malam tadi, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan pihak Istana Negara menghantar jemputan kepada semua 114 Ahli Parlimen yang menyokong pencalonan Ismail sebagai perdana menteri supaya hadir menghadap untuk membuat pengesahan.
Perkembangan itu susulan Ismail dilaporkan memperoleh sokongan lebih 111 Ahli Parlimen untuk memperolehi majoriti mudah di Parlimen.
Menurut sumber, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hanya berjaya meraih sokongan 92 Ahli Parlimen.