
Syarat gabungan itu adalah Ismail, sekiranya dilantik sebagai perdana menteri, hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti “berintegriti, beramanah, dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah”.
Kerajaan pimpinan beliau juga mestilah “meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman, dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” kata Pengerusi PN itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan usai pertemuan Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail sebagai perdana menteri ke-9 dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Ismail adalah naib presiden Umno dan timbalan perdana menteri dalam kerajaan pimpina Muhyiddin sebelum ini. Muhyiddin terpaksa meletak jawatan Isnin lalu selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin berkata, dia sanggup meletak jawatan daripada tunduk kepada tekanan individu tertentu yang mahukannya campur tangan dalam kes mahkamah dihadapi mereka.
Ismail menjadi calon pilihan Barisan Nasional dan PN selepas berjaya memperoleh sokongan padu 42 Ahli Parlimen BN, termasuk 37 daripada Umno, selain meraih sokongan parti komponen PN, termasuk Bersatu, pimpinan Muhyiddin, parti di Sabah dan Sarawak serta Ahli Parlimen bebas.
Hari ini, Muhyiddin menyifatkan Ismail sebagai “calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu,” sekali gus membayangkan negara tetap bawah pimpinan PN yang ditubuhkan beliau tahun lalu.
Muhyiddin menjelaskan semua 50 ahli Dewan Rakyat daripada PN dan empat Ahli Parlimen bebas yang pro-gabungan itu menyatakan sokongan kepada Ismail sebagai calon perdana menteri.
Sokongan itu, katanya, demi “menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN”.
“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau akan mempersiapkan PN bagi menghadapi PRU15 apabila tiba masanya.