Seorang lagi jurutera direman berkait kes rasuah di Selangor

Seorang lagi jurutera direman berkait kes rasuah di Selangor

Jurutera bangunan di sebuah jabatan kerajaan di Hulu Selangor itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan dua syarikat kontraktor.

Lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pada 2.50 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan, menurut sumber. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap seorang lagi jurutera bangunan yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Hulu Selangor, bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan dua syarikat kontraktor.

Perintah reman hingga 25 Ogos terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Raden Farah Shirazee Ahmadi selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu lelaki itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.55 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pada jam 2.50 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Pada 18 Ogos, mahkamah sama turut mengeluarkan perintah reman terhadap lima individu termasuk seorang jurutera dan dua penolong jurutera jabatan kerajaan sama bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sumber SPRM berkata siasatan kes itu melibatkan rasuah lebih RM120,000 berhubung projek pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan serta suapan lebih RM8,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.