
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sebab peralihan itu berikutan kadar vaksinasi lengkap dua dos di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Labuan telah mencapai 92.4% imuniti kelompok bagi populasi dewasa.
“Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan yang telah menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.
“Malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0%) berbanding 30% pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ismail berkata bagi Negeri Sembilan, keadaan Covid-19 juga bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120% kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40% semalam.
Katanya, perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3% daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.
“Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya
Sementara itu, Ismail berkata dengan peralihan fasa PPN itu, penduduk di Labuan kini boleh menikmati kelonggaran semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100%, tertakluk kepada SOP dan seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50%.
Mereka juga boleh mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, ‘retreat’ dan ‘reunion’ dengan had 50% berdasarkan kapasiti premis atau dewan serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Ismail juga berkata, kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan sama seperti negeri-negeri lain yang beralih ke Fasa Dua.
Katanya, ini termasuk kebenaran pergerakan rentas daerah bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya lengkap dua dos vaksin dan ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi serta mempunyai anak bawah usia 18 tahun yang menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa.
“Individu sudah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan menjalankan aktiviti solat di masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun hanya pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk ‘dine-in’ di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksinasi.
Katanya, aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan ‘homestay’.