Sanusi selar ‘serangan’ P Pinang terhadap projek lapangan terbang Kulim

Sanusi selar ‘serangan’ P Pinang terhadap projek lapangan terbang Kulim

Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor menegaskan perancangan jelas termasuk dari segi metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan semua impak terhadap alam sekitar diambil kira.

Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor menuduh kerajaan Pulau Pinang mencetuskan kacau ganggu terhadap projek lapangan terbang Kulim.
ALOR SETAR:
Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor menyelar campur tangan Pulau Pinang dalam perancangan Kedah untuk membina lapangan terbang di Kulim dengan menggunakan kenyataan provokatif.

Beliau menuduh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencetuskan kacau ganggu berterusan dengan membangkitkan isu alam sekitar berkaitan projek itu.

Sebaliknya, beliau berkata perancangan jelas termasuk dari segi metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan semua impak terhadap alam sekitar diambil kira.

“Kenyataan ini saya terima sebagai bukan daripada PBAPP atau PBA Holdings Sdn Bhd semata-mata tetapi juga adalah ‘suara’ kerajaan negeri Pulau Pinang.

“…Mereka tidak pernah berasa malu untuk mempersoalkan, membantah serta mencetuskan kacau ganggu berterusan terhadap hak kerajaan negeri Kedah untuk melaksanakan projek bagi kemajuan rakyat dan negeri di dalam wilayahnya yang berdaulat,” katanya.

PBAPP baru-baru ini menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim kerana dilihat dibina terlalu berhampiran dengan Sungai Muda, dan mungkin menjejaskan bekalan air ke Pulau Pinang di masa akan datang. PBAPP menggunakan air sungai berkenaan untuk membekalkan 80% penduduknya.

Sanusi berkata Pulau Pinang seharusnya melihat keadaan sungai di negerinya sendiri dengan Sungai Perai, Sungai Pinang dan Sungai Juru dinamakan antara yang paling tercemar di negara ini.

“Pemimpin Pulau Pinang bukan sahaja seperti ketam mahu mengajar anak berjalan betul, bahkan seperti tidak ada rasa malu untuk bercakap mengenai suatu topik yang sebenarnya boleh menempelak ke muka mereka sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan kualiti air Sungai Muda tidak akan terjejas dengan projek berkenaan kerana pelbagai langkah mitigasi akan digunakan di tapak pembinaannya. Ini termasuk membina kolam kelodak untuk memastikan kelodak tidak memasuki aliran sungai berkenaan.

“Jika kerajaan Pulau Pinang mahupun PBAPP terus menyuarakan kebimbangan sama, itu boleh dianggap tidak berasas atau sengaja direka-reka bertujuan untuk mencetuskan kacau ganggu atau sengaja memberikan persepsi buruk orang awam terhadap projek itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.