
Ketua Penerangannya Ulya Husamudin berkata, Muhyiddin gagal sebelum ini dalam mengawal Covid-19 sehingga kes harian meningkat berkali ganda daripada jumlah kes ketika beliau mengangkat sumpah.
“Jumlah kes pada 29 Feb 2020 hanyalah sebanyak 25 kes, manakala kes kumulatif sepanjang pentadbiran beliau mencecah 250 ribu kes dengan 12 ribu kematian.
“Rakyat rata-rata telah menzahirkan kemarahan mereka sehingga melabel pentadbiran Muhyiddin sebagai #KerajaanGagal ekoran belasan ribu keluarga
kehilangan orang tersayang dan ratusan ribu sengsara sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri.
Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu lalu.
Zuki yang juga setiausaha Jemaah Menteri berkata, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, DAP mendakwa Ismail sebagai tidak serius dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan lantikan bekas perdana menteri itu menjadi pengerusi MPN.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, PPN sepatutnya menjadi petunjuk utama mengawal pandemik Covid-19 ketika langkah progresif membuka kembali kegiatan sosial dan ekonomi menjelang Disember 2021.
“Ini menunjukkan Ismail tidak serius dan komited kepada PPN. Pelantikan ini dilihat sebagai satu bentuk saguhati politik kepada Muhyiddin selepas dipaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.